HOSTEL |
9
SYAWAL 1433
Di suatu
malam yang dingin, pada waktu itu telah berkumpul 5 sekawan meratah daging rendang di sebuah bilik di
hostel MIAT. Suasana pada malam itu amat dingin. Sesekali terdengar hilai tawa rakan-rakan di aras 1. Kelibat lembaga membawa beg melintasi bilik F00-08 yang terletak bersebelahan bilik air agak mengganggu pemakanan mereka. Tiba-tiba..
Oppss!..salah chanel pulak. Ini bukan cerita seram k. Harap maklum.
Budaya beraya dari rumah ke
rumah kini beralih kepada beraya bilik ke bilik. Itu yang aku maksudkan. Bukan cerita hantu, bukan cerita seram. Ianya suatu cerita di hari raya. Maka bermulalah perbualan itu..
.......................................................................................................................
“Ni, da
kenyang bantai rendang yang Afni bawak leh la pose esk” bicara adik manis setelah selesai melantak cebisan daging
rendang tok.
“Puasa
6 ke?” Tanya adik comel pula
“ Eh,
bukannye kalau puasa 6 kena straight ke, tak leh selang-selang tak puasa?” Tanya kakak cun keliru
“ Boleh
la kak puasa selang seli, asalkan dalam bulan syawal” jawab adik manis
“ Ha’a,
ada dengar gak orang ckap macam tu, tapi ada orang cakap boleh combine puasa 6
dengan puasa ganti” sokong adik comel
“Tapi
kan, ada jugak yang cakap tak boleh wat sekali ,kena asing. Hmm, achner tu? pening dah..”
sapa adik gorgeous sambil memusingkan kepalanya
“ Nak
taw tak kenapa....?” adik vogue melontarkan pertanyaan
“ Sebab
si emak dengar ceramah ustaz ni cakap macam gini, si ayah dengar ceramah ustaz
tu cakap macam tu, si anak pulak dengar ceramah ustaz sana cakap macam gini tu
yang jadi lain pendapat” sambung adik vogue mennjawab pertanyaannya sendiri.
Macam-macam. So, mana
satu yang betul ni? Aish~
Sebelum sambung membaca, sila tarik nafas panjang bagi memudahkan penghantaran udara ke otak. Sebab artikel kat bawah ni panjang sikit. Tapi bukan aku yang tulis. Aku copy paste je. Harap maklum ye.
Adakah puasa 6
dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan
yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak
berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan
Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari
ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan
hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari
dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan
Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan
puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya:
“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)
keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya
seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
[Surah Aali Imran:133]
Melaksanakan
Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud
perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam
Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya?
Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.
Pendapat
Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan
dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anhapernah
mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan
Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya:
“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali
pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no:
1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani
Rasulullah saw" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama
Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama
berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra,
tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan
tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan
dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang
puasa Ramadhan.
Pendapat
Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan
hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah
dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang
berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari
dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah
saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah
“mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat
enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya.
Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu.
Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua
lebih rajih (kuat);
Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain
dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah
yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan
sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah
tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun,
sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan
qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya
sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima,
berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah,
Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan
bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka
kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan
qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang
tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan
makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni
Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].
Menggabungkan
puasa qadha dan puasa enam.
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’,
sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan
puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan
maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat
bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa
qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang
diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara
berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428,
cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang
berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal,
adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati
pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala
tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala
sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa
enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada
bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut
(menyempurnakan puasa Ramadahankemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni
Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang
membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil
al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat
pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala
sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat
fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul
masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini
(fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk
kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang
menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih
menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan
Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin
adalah lebih utama (aula),
kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat
dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata
kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang
besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat
adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa
enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw.
Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan
Syawal.Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita
tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita
dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat
kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran
berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau
musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka
dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak
bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
** Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh
Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa
enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke
dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
Sumber
itu tadi dipetik dari http://soaljawab.wordpress.com/2011/09/03/puasa-enam-dan-beberapa-persoalan/
P/s: Jika masih ragu-ragu ,
rujuklah ustaz/ah untuk mendapatkan kepastian. Semoga (rujuk ** -perenggan akhir entry ini).
9 Syawal 1433
27/8/2012
6.22 AM
MIAT
0 comments:
Catat Ulasan