Ku Rindu Padamu Ya Rasulullah s.a.w!
Penulis: Suhili bin Nain
Garis-garis
sinar mentari menembusi jendela bertabir menerangi bilik bacaan itu
dengan cahaya yang malap. Secangkir Nescafe panas dan beberapa keping
biskut di atas meja yang dihidangkan ibunya untuk sarapan pagi masih
belum terusik. Tiada bunyi bingit yang menggangu tumpuan, melainkan
hanya bunyi kipas angin yang sedang berputar laju. Azim berdiri di sisi
rak buku yang terletak bersebelahan dengan meja tulisnya. Kopiah putih
yang menutupi rambut pendeknya yang sedikit keriting dilepaskan ke atas
meja.
Matanya yang sepet itu memerhati dengan teliti judul-judul kitab yang berada dalam koleksi rujukannya sambil disentuhnya kitab-kitab itu satu persatu dengan hujung jarinya. Mencari sesuatu.
Matanya yang sepet itu memerhati dengan teliti judul-judul kitab yang berada dalam koleksi rujukannya sambil disentuhnya kitab-kitab itu satu persatu dengan hujung jarinya. Mencari sesuatu.
Sebuah
kitab yang tebal ditarik keluar daripada rak buku. Kitab yang berjudul
Syamail Muhammadiyah itu dibelek-belek daripada satu muka surat ke muka
surat yang lainnya. Pada kulit buku tertera nama pengarang, Imam
At-Tirmizi, salah seorang ulama hadis terkemuka dan terkenal dengan
kitab Sunan At-Tirmizi yang tersenarai dan kutubus sittah.
Syamail
Muhammadiyah adalah satu kitab Imam At-Tirmizi yang dikhaskan olehnya
untuk menghimpunkan hadis-hadis yang menjelaskan tentang sifat-sifat dan
peribadi serta akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Padanya ada hadis yang
shahih, hasan dan juga dhaif sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam
At-Tirmizi sendiri.
Membaca
sifat-sifat Rasulullah s.a.w yang tercinta, hatinya diselubungi
perasaan sayu dan rindu. Terkenang kewafatan Rasulullah s.a.w di
pangkuan isterinya yang tercinta, Ummul Mukminin Aisyah r.anha. Ketika
itu pada waktu Dhuha pada hari isnin, bersamaan 12 Rabiul Awal tahun 11
Hijrah, selepas bersiwak Rasulullah s.a.w pun mengangkat tangannya dan
menyebut, "Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah daku dan pertemukanlah
daku dengan Kekasih yang Maha Tinggi. Ya Allah, Kekasih yang Maha
Tinggi." Setelah mengulangnya kalimah itu sebanyak tiga kali, Rasulullah
s.a.w pun kembali menghadap kepada Allah, Kekasih yang Maha Tinggi.
Berikutan
tersebarnya khabar kewafatan Rasulullah s.a.w itu, seluruh umat Islam
dilanda rasa sedih dan duka. Umar r.a ketika itu hilang pertimbangan,
lalu ditenangkan oleh Abu Bakar Ash-Shiddiq. Bilal bin Rabah r.a yang
biasa melaungkan azan, menangis teresak-esak apabila sampai pada kalimah
"Asyhadu anna muhammadar rasulullah" kerana teringatkan Rasulullah
s.a.w, sehinggakan mereka yang mendengar tangisan itu turut menangis
sama.
Kewafatan Rasulullah s.a.w merupakan kehilangan yang amat besar kepada umat Islam daripada dahulu sehingga ke hari ini.
"Allahumma
solli 'ala muhammad," Azim mengucap selawat berkali-kali sebagaimana
yang diriwayatkan. Kerinduan untuk bertemu Rasulullah s.a.w meresapi
jiwanya, memenuhi kolong hatinya. Hasratnya ingin bersua dengan baginda
s.a.w, namun apakan daya, takdir telah tertulis bahawa lahirnya ke
dunia, Rasulullah s.a.w sudah pun lama pergi menemui Kekasihnya, Allah
Rabbul Jalil.
Untuk
itu hanya peninggalan Rasulullah s.a.w yang berupa al-Qur'an dan
as-Sunnah yang menjadi pegangannya, bersama kefahaman para Salafus
Soleh. Pada masa yang sama dia tetap berharap, agar dipertemukan dengan
Rasulullah s.a.w di alam mimpi, walaupun tidak dapat bersua muka secara
nyata.
Fikiran
Azim menerjah ke masa silam. Terkenangkan peristiwa ketika dia berada
di bangku sekolah tingkatan tiga, di SMK Bandaraya. Ketika mula-mula
tertarik untuk mendalami agama selepas tersedar daripada hanyut dibawa
ombak kelalaian, tenggelam dalam samudera kesia-siaan. Masih anak muda
remaja yang belum begitu mengerti soal agama yang murni.
“Saya
mimpi melihat Rasulullah s.a.w, ustaz!” luahnya ketika menemui Ustaz
Sabri di bilik guru. Dia mengkhabarkan kepada ustaz Sabri, bahawa
mimpinya lewat malam semalam, dikunjungi oleh seorang lelaki misteri
yang tidak pernah dikenalinya, berseri-seri dan bercahaya. Namun
yakinnya menyatakan bahawa itu adalah Rasulullah s.a.w.
Dia
teringat Ustaz Sabri pernah berkata kepadanya, bahawa Rasulullah s.a.w
pernah menyatakan ketika sesi pembelajaran subjek Pendidikan Islam
bahawa syaitan tidak dapat menyerupai baginda s.a.w. Namun, ustaz Sabri
yang separuh usia itu tidak sempat mengulas lanjut mengenai luahan
mimpinya kerana sibuk menyiapkan kertas soalan untuk peperiksaan yang
akan diduduki oleh semua pelajar dua minggu lagi. Dan dia pun tidak mahu
mengganggunya.
Beberapa hari berlalu. Mimpi yang menerpa lenanya beberapa malam lepas masih segar di dalam benaknya, tidak dapat dilupa.
"Ya
Allah, pertemukanlah daku dengan Rasulullah s.a.w di dalam mimpi." Doa
Azim sebelum terlena di atas sejadah, kelelahan menunaikan qiamulail
keesokan malamnya. Sekali lagi lelaki misteri itu berkunjung di dalam
mimpinya. Kali ini dengan beberapa orang yang berserban dan berjubah
putih dengan wajah yang berseri-seri. Dia cuba untuk berbual dengan
lelaki tersebut, bertanya kepadanya, mahukan kepastian. Namun lelaki
dalam mimpinya itu hanya tersenyum. Air matanya mengalir sambil menangis
teresak-esak sebaik sahaja terjaga. Hatinya semakin teguh berkata,
lelaki yang ditemuinya itu adalah Rasulullah s.a.w.
Sebaik
sahaja loceng berbunyi menandakan berakhir sesi pembelajaran pada hari
berikutnya, Azim bergegas mengatur langkah ke bilik guru untuk bertemu
dengan ustaz Sabri. Moga-moga ustaz Sabri tidak sibuk pada hari ini,
bisik hatinya.
Tiba
di hadapan bilik guru, Azim menolak daun pintu seraya memberikan salam
dan melangkah masuk setelah dipersilakan oleh ustaz Sabri.
Alhamdulillah, ustaz Sabri kelihatan sedang berehat di tempat duduknya.
Nampaknya ada peluang untuknya berbual panjang dengan Ustaz Sabri.
“Memang
benar, syaitan tidak mampu untuk menyerupai Nabi Muhammad s.a.w di
dalam mimpi.” Ulas ustaz yang separuh usia itu sambil mengusap-usap
janggutnya yang sejemput kemas. Posisi cermin matanya yang tebal itu
dibetulkan.
“Tapi,
tidak semua yang berkunjung dalam mimpi kita dan mengaku sebagai
Rasulullah s.a.w itu adalah Rasulullah s.a.w yang sebenarnya.”
“Maksud
ustaz?” Tanya Azim. Bukankah dahulu Ustaz Sabri juga yang berkata
kepadanya, bahawa Rasulullullah s.a.w itu tidak dapati diserupai oleh
syaitan, bisik hatinya. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu. Keliru.
“Menyerupai
dan mendakwa diri sebagai Rasulullah s.a.w adalah dua perkara yang
berbeza.” Ustaz Sabri mengeluarkan sebuah kitab daripada susunan
buku-buku tebal yang berada di atas meja. Syamail Muhammadiyah, itulah
judulnya. Fikiran Ustaz Sabri teringat pernah suatu ketika di dalam
rancangan Expose Mistik di saluran Astro Prima, ada guru tareqat sesat
yang mengaku bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mendakwa Rasulullah
s.a.w datang kepadanya sambil menangis memikirkan umatnya, lalu meminta
syaikh tareqat itu menyelamatkan mereka. Suatu cerita yang kemungkinan
besarnya dusta dan direka-reka untuk memperdaya para pengikutnya agar
taksub dan kagum kepadanya.
Terjemahan Syamail Muhamadiyah terbitan PTS Islamika |
“Kita
tidak boleh mempercayai dengan serta-merta apabila seorang lelaki
misteri menemui kita di dalam mimpi dan menyatakan dirinya sebagi Nabi
Muhammad s.a.w." tambah Ustaz Sabri lagi. Kitab yang diletakkan di atas
meja itu dibeleknya satu persatu. "Memang benar syaitan tidak mampu
untuk menyerupai Nabi Muhammad s.a.w sebagai zahirnya, tapi syaitan
mampu untuk mendakwa dirinya sebagai Nabi Muhammad s.a.w.”
“Tapi perasaan saya kuat merasakan sedemikian, ya ustaz.” Azim bersuara, tapi keyakinannya terhadap mimpi tersebut mulai goyah.
“Perasaan
tidak cukup untuk kita menentukan itu Rasulullah s.a.w atau pun
sebaliknya, Azim.” Kata Ustaz Sabri dengan mesra. Dia faham tentang
perasaan rindu muridnya itu kepada Rasulullah s.a.w, sebagaimana yang
dikhabarkan kepadanya beberapa hari lepas.
“Lalu bagaimana hendak menentukannya?”
“Dengan
riwayat-riwayat yang shahih dan hasan tentang baginda s.a.w yang sampai
kepada kita.” Jawab Ustaz Sabri. Telunjuknya ditujukan ke satu muka
surat di dalam kitab Syamail Muhammadiyah. “Pernah suatu ketika seorang
berkata kepada Ibnu Abbas r.a, bahawa dia bermimpi bertemu Rasulullah
s.a.w, maka Ibnu Abbas r.a pun bertanya kepada orang yang berkata itu
tentang ciri-ciri Rasullullah s.a.w yang ditemui dalam mimpinya bagi
membuat perbandingan, adakah yang hadir dalam mimpi itu benar adalah
Rasulullah s.a.w atau pun sebaliknya.”
“Maka
begitu juga dengan kita. Sekiranya setelah membuat perbandingan, dan
nyata bahawa wujudnya persamaan di antara riwayat yang sampai kepada
kita berkenaan dengan Rasulullah s.a.w, dengan orang yang mengaku
sebagai Rasulullah s.a.w dalam mimpi kita, maka mungkin sekali ianya
adalah Rasulullah s.a.w. Sekira sebaliknya, maka kemungkinan besar itu
bukanlah Rasulullah s.a.w yang sebenarnya.”
“Sebagai
contohnya, di dalam mimpi kita melihat Rasulullah s.a.w itu berambut
putih kerana banyaknya uban, sedangkan yang sampai dalam riwayat yang
shahih, uban Rasulullah s.a.w itu tidaklah begitu banyak. Bahkan, ianya
mampu dihitung dengan menggunakan jari.” Kitab Syamail Muhammadiyah yang
dihulurkan oleh Ustaz Sabri dicapainya dengan segera.
Azim
membelek lembaran muka surat yang menyatakan tentang ciri-ciri zahir
Rasulullah s.a.w, pada masa yang sama dia cuba mengingat kembali
ciri-ciri lelaki yang mengunjungi mimpinya untuk membuat perbandingan
dengan apa yang dibacanya dalam kitab itu. Ustaz Sabri diam memerhati
muridnya sambil tersenyum melihat gelagatnya.
Air
jernih mula bergenang di tubir matanya. Menitis tanpa disedari, lalu
disekanya air mata itu dengan menggunakan tapak tangannya. Fikirannya di
terjah perasaan sayu, kecewa. Ternyata lelaki yang hadir dalam mimpinya
jauh berbeza dengan sifat Rasulullah s.a.w yang tertera dalam Syamail
Muhammadiyah. Siapa dia? Adakah itu syaitan yang cuba untuk
menyesatkannya daripada jalan yang lurus, atau cuma mainan tidur
semata-mata? Cuma Allah s.w.t yang mengetahuinya. Yang pastinya lelaki
itu bukan Rasulullah s.a.w, dia bermonolog sendiri.
Azim
merasakan masa seperti terhenti buat seketika, alam menjadi sepi dalam
fikirannya. Sukmanya diselubungi perasaan sedih, pilu dan kecewa.
“Nampaknya yang hadir dalam mimpi saya bukan Rasulullah s.a.w.” luahnya dengan suara yang mendatar tidak begitu kedengaran.
Ustaz
Sabri menarik nafas dalam-dalam. Perasaannya terkesan kagum melihat
keinginan anak muda di hadapannya. Anak muda di hadapannya itu berbeza
daripada yang biasa ditemuinya.
“Sabarlah
Azim. Kalau pun kita tidak dapat bertemu Rasulullah s.a.w pada masa
ini, insya’ Allah kita akan bertemu baginda s.a. di akhirat, selagi mana
kita beragama Islam dan berpegang teguh dengan sunnah baginda s.a.w
serta banyak berselawat kepadanya.” Ustaz Sabri menghampirkan diri dan
memegang baru Azim. Diusap-usapnya kepala anak muda di hadapannya itu.
Perlahan-lahan
Azim menghela nafas yang panjang. Kitab Syamail Muhammadiyah di
tangannya ditutup perlahan-lahan, lalu dikembalikan ke dalam rak buku di
sisi mejanya. Pesan-pesan Ustaz Sabri agar berpegang teguh kepada
Islam, al-Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w berdasarkan kefahaman
Salafus Soleh tidak pernah luput daripada ingatan. Sunnah yang semakin
ditinggalkan ramai orang, dihidupkannya dan perkara yang menyelisihi
sunnah itu ditolaknya secara hikmah, dengan harapan agar usahanya itu
akan menemukannya baginda s.a.w di akhirat sana.
..terkesan di jiwa..
BalasPadam